RSS

Monthly Archives: May 2013

Assalamualaikum..

Post saya mula berubah angin. Mungkin lebih kepada perkongsian yang dekat dengan kehidupan saya.Bukanlah menjadikan medan ini sebagai tempat untuk meluah rasa tetapi sebagai satu terapi jiwa untuk lebih memandang segala yang terjadi dengan lebih positif. Namun gaya penulisan masih lagi saya lakarkan dengan bahasa yang baik, Inshaa Allah.. ^_^

Hari ini aktiviti pertama saya adalah memaksa ibu arnab untuk menyusukan anak-anaknya yang baru 3 hari menjalankan amanah sebagai makhluk Allah.. Namun saya risau. Anak-anak arnab tu kenyang ka? Ibu dia ada susu yang cukup ka? Tapi tiba-tiba terdetik dalam hati saya,

“Allah ada.”

Saya terus sahaja menjalankan tanggungjawab untuk memastikan semua disusukan dengan baik tanpa memikirkan susu ibu arnab tu ada atau tak. InsyaAllah, binatang juga di bawah jagaan Allah bukan? ^_^

——————————————————————————–

Dalam pada masa yang sama menghitung hari untuk temuduga SPA. Rasa tak teruja, mungkin sebab tawaran tu bukan pilihan saya ataupun secara tepatnya bukan bidang yang saya pelajari. Tetapi saya dinasihatkan untuk TIDAK MEMILIH kerja.. Emm.. betul jugak. Saya cuba untuk bersangka baik dan positif dengan apa yang Allah hamparkan dalam perjalanan hidup saya. Moga ia terbaik di pandangan Allah. Namun dalam menunggu tarikh tersebut, saya masih lagi mengintai-intai peluang kerja yang lebih dekat dengan bidang yang saya pelajari. Dakwah.. Tetapi saya belajar,

“di mana pun kita dicampakkan, orang disekeliling kita adalah sasaran dakwah bagi kita”

InsyaAllah, moga saya bersedia untuk berhadapan dengan alam pekerjaan. Tak sambung belajar? InsyaAllah, niat belajar masih kuat dalam hati tetapi mungkin bukan dalam masa terdekat ini. Harap niat dan kecenderungan untuk belajar tidak mati dek duit yang sudah selesa di tangan kelak. ^_^

Saya punya sahabat yang sudah berada di alam pekerjaan. Mereka semakin sibuk dan semakin fokus dengan amanah baru yang diperolehi. Alhamdulillah, pekerjaan mereka tidak lari dari majlis ilmu dan muhasabah diri. Saya pula, kena lebih berusaha keras untuk memastikan nilai tarbiyyah tetap kukuh dalam diri. Rindu mereka.

Banyak perkara yang bermain dalam kepala. Sehinggakan saya perlu merancang dengan bijak. Buat masa ni, facebook “deaktive”kan .. beri ruang pada hati untuk dibersihkan dari segala rasa yang tidak menyenangkan. Mungkin juga untuk melupakan seketika atau selamanya mereka-mereka yang telah menyumbangkan retak jiwa. Tetapi, apa pun TERIMA KASIH atas hadiah yang diberikan buat hati kecil ini. InsyaAllah hadiah itu lebih menguatkan jiwa.. 

^_^

 
Leave a comment

Posted by on May 25, 2013 in SEMBANG SANTAI

 

Berani bahagia

Kadang-kadang perlu untuk kita memiliki sifat berani untuk melepaskan sesuatu. Mungkin agak sukar dan menyakitkan terutamanya jika sesuatu itu adalah seseorang dalam hidup kita. Pelik manusia ni, bibirnya mengatakan sakit tapi tindakannya masih saja mahu untuk terus disakiti. Kekadang lebih memilih rasa sakit daripada melepaskan ia pergi..

Alhamdulillah.. moga kita tergolong dalam kalangan yang sentiasa sedar bahawa hidup kita di dunia bukan sekadar merasa sakitnya terluka tetapi juga merasa manisnya hijrah. Jangan sampai menganiaya diri sendiri hanya kerana perasaan kita yang tidak pasti. Manusia sering saja tertipu dengan kata rasa yang hadir dalam hati tanpa memikirkan rasional terhadap pilihannya.

Alhamdulillah..berani berubah untuk berani bahagia. Bukan di dunia tetapi di akhirat sana.. Bukan sementara tetapi selamanya. ^^

Saya yakin..

 

Doa-Hakikat-26

 
Leave a comment

Posted by on May 24, 2013 in BICARA HATI

 

Segelas Nescafe dan Kentang Goreng

Si isteri memandang dengan ekor mata. Sebelum menjadi bahan ejekan, lebih baik dia tunduk dan melarikan pandangan. Bersungguh dia menahan ketawa dalam hati.  Encik suami pula memandang sambil tersengih.

“Ok..jom goreng kentang. Nak tak?” Encik suami mula memancing reaksi cik Isteri. Dia tahu cik Isteri suka dengan kentang goreng. Dia mengeluarkan sebungkus kentang goreng daripada peti ais yang dibelinya tadi. Seharian dia bersama cik Isteri berjalan menghilangkan kebosanan terkurung di rumah.

“Nak, Jom-jom!” Bersungguh cik Isteri bila kegemarannya disebut.

“Ellehh.. bukan awak yang goreng. Saya jugak yang buat. hehehe”. Cik Isteri membulatkan mata sambil tersengih-sengih. Serangan pertama dari encik suami. Dia memuncungkan mulut tanda protes namun disambut dengan gelak ketawa oleh Encik Suami.

“Mari sini. Belajar masak sikit” Encik suami memberi isyarat mata supaya Cik Isteri berdiri di sebelah kirinya. Minyak sedang dipanaskan dalam kuali. Senduk kuali kemas di tangan kanan Encik Suami. Cik Isteri pula setia memandang gelagat suaminya. Tersenyum dan cuba melangkah kebelakang sedikit.

“Aik.. awak ni. Takut sangat. Memang tak pernah masak ker? Goreng telur ka??” Cik Isteri menggelengkan kepala.

“Masak air??”
“Emm pernah.. hehehe” Cik isteri malu-malu kucing memandang encik suami.

“Ok..ambil cerek tu. Tadah air. Pastu masak air tu. Kan nak buat air” arahan dari seorang chef. Si Isteri mengikut arahan yang diberikan.

“Emm, awakk. buat macam ni ka?”
“Aik..kata tadi pandai masak air??” Pelik.
“Saya guna elektrik tak guna dapur gas macam ni”. Nada sayu cuba mempertahankan diri. Sambil tersenyum dia melihat Encik Suami mengambil alih tugas memasak air. Si isteri pula disuruh memasukkan kentang goreng ke dalam kuali panas tersebut. Buat pandai dia. Sedikit kebelakang untuk mengelak minyak panas yang sedikit tepercik keluar kerana Si Isteri melemparkan kentang goreng itu ke dalam kuali. Terkejut Encik Suami.

“Awaaak… buat elok-elok.”
“Hehe..ok”

“Nak saya buat air atau awak?” Encik suami bertanya. Di tangannya ada nescafe dan 2 gelas kosong.
“Awak la.. air awak sedap” Encik Suami tersenyum dipuji.

“ambil gula kat situ” Encik suami mengajar dengan sabar. Cik Isteri pula tekun mendengar. Sebenarnya tidak sabar untuk minum nescafe buatan Encik suami.

Akhirnya , dengan susah payah mereka berdua menikmati segelas nescafe dan kentang goreng. Minum malam sambil bermain catur. Kebiasaan Encik Suami dan Cik isteri ketika bersama. Mereka berkongsi gelak ketawa menonton animasi. Macam budak-budak. Perkara yang terbaik adalah mereka melakukannya bersama. Akibat sering berjauhan mereka saling menghargai setiap masa yang dialui.

————————————————

Tiada kena mengena dengan yang hidup ataupun yang telah jadi arwah. ^_^

p/s: Belajar menerima kekurangan pasangan. Dan yang kurang itu perlu diperbaiki. Bukan sendiri tetapi bersama-sama..

 
Leave a comment

Posted by on May 14, 2013 in CERITA PENDEK

 

Ada Mahu Membuatkanmu Hilang Malu.

Sedih. Terasa hati dipalu hebat. Sekali lagi, mahu ini meletakkan jasad dan hati berperang dengan kecewa.

Mula berbicara dengan diri “menangislah andai itu membuatmu lebih lapang menapak ke hadapan”. Berat. Payah. Segalanya semakin dirasa menghimpit dada.

Kenapa mudah kalah dengan ‘sayang’?
Kenapa mudah menyerah dengan ‘kasih’?

Segala-galanya telah berubah. Dia yang dulu datang dengan pujukan mesra, setia menemani siang malam di alam maya kini sudah merubah wajah. Dia semakin jauh dan semakin hilang di pandangan. Setelah pakaian malu itu digadaikan pada pajak nafsu.

——————————————————————————-

Bicara ini yang sering menjadi tafsiran hati bagi yang sudah kecewa ditinggal sendiri. Ayat ini juga gambaran rasa buat insan yang terseksa di awangan derita. Simpati namun bukankah ia pilihan sendiri? Ya..tidak dinafikan, ada yang sudah merasa dan ada juga yang sudah bangkit dari remuknya jiwa. Kini rohani mereka  lebih kuat untuk berdepan dengan hidup. Bekalnya pengalaman dan tambahan ilmu sebagai penguat kaki dan hati untuk terus melangkah.

Berapa ramai yang jiwanya sudah diasak sehebat ini? berperang dengan perasaan. Masih menginginkanya tetapi perlu untuk melepaskan. Itulah keunikan rasa yang ingin mekar menjadi cinta. Namun tak semua rasa cinta itu bahagia.

Berapa ramai yang hatinya sudah hilang warna ceria? berkira-kira dengan apa yang dirasa. Membuang rasa malu dan harga diri untuk memenuhi keinginan cinta. Namun tak semua rasa cinta itu puas.

Jika engkau tidak malu, maka berbuatlah sesukamu. (HR Bukhari)

Didendangkan dengan sebuah lagu,

Malumu mahkota yang tidak perlukan singgahsana,
Tapi ia berkuasa menjaga diri dan nama,
Tiada siapa yang akan boleh merampasnya,
Melainkan kau sendiri yang pergi menyerah diri.

Segalanya bermula dengan malu..

Seseorang akan hidup mulia,

Selama dia memiliki rasa malu,

Ranting pohon akan tetap kekal

Selama kulitnya masih ada,

Maka tidak! Demi Allah,

Tiada kebaikan dalam kehidupan,

Dan tidak pula dunia aka nada,

Apabila malu sudah menghilang.

-Dr. Aidh al-Qarn

Berapa ramai antara kita yang sudah membuang rasa malu untuk sebuah perasaan yang tidak pasti? Didorong dengan kehendak nafsu, dikaburi dengan keindahan mahu dan terbuai dari melupakan tahu sehingga mengusir taqwa dari hati.

Aku, kau, dia dan mereka. Belajarlah memakai semula pakaian malu. Moga kita bahagia setelah rebah.. ^_^ Doaku dan doamu.. moga dimakbulkan Allah Yang Maha Tahu.

 
Leave a comment

Posted by on May 14, 2013 in BICARA HATI